Showing posts with label Hindraf. Show all posts
Showing posts with label Hindraf. Show all posts

Wednesday, January 9, 2008

V Ganabatirau yang tulus hati

- adaptasi daripada Suara Keadilan 2 - 16 Januari 2008

oleh:Tony Pua

SETELAH mengenali V Ganabatirau(Gana) selama lebih kurang lapan bulan dulu, saya tidak boleh mengatakan saya tahu semuanya. Tetapi ada banyak perkara yang melambangkan kemurniaannya yang saya kongsi bersama.

Gana bukanlah seorang rasis. Dia juga bukan seorang fanatik ugama dan tidak mungkin seorang pengganas seperti yang digambarkan. Setelah mengenalinya beberapa bulan dulu, sifatnya adalah bertentangan dengan apa yang cuba digambarkan oleh pemerintahan Abdullah Badawi melalui media.

Gana adalah rakyat Malaysia sejati, yang percaya bahawa semua rakyat Malaysia, tanpa mengenal laum, mempunyai hak yang sama untuk berjaya. Walaupun setengahnya mungkin mengatakan bahawa Hindraf sepatutnya memperlihatkan diri mereka supaya lebih bersifat berbilang kaum, tidak ada rakyat Malaysia yang waras dapat menafikan bahawa sebilangan besar orang-orang India di negara ini telah dipinggirkan dan hidup di bawah ataupun hampir dengan garis kemiskinan.

Melihat cara politik Malaysia hari ini, adalah tidak mengejutkan apabila kaum India terpaksa bangkit dan bersuara.

Tetapi bagi Gana, walaupun baru saja memulakan firma perundangannya, terpaksa berulang alik (sekurang-kurangnya seminggu sekali) di antara Teluk Intan (kampung halamannya) dan Shah Alam di mana mereka tinggal sekarang, untuk memberikan khidmatnya kepada mereka yang memerlukan bantuan dan kurang bernasib baik.

Malah dia telah menyewa dan menyediakan kelengkapan pusat khidmat di Teluk Intan dengan duitnya sendiri, untuk meneruskan usahanya.

Apabila saya menerima kes-kes di pusat khidmat saya sendiri di Damansara Utama, dan memerlukan bantuan guaman untuk membantu mereka yang mengadu, Gana menawarkan diri tanpa diminta.

Sebagai contoh, terdapat satu kumpulan seramai tujuh orang kontraktor yang gagal mendapat bayaran daripada pemaju perumahan, Gana terus membantu mereka dan memberikan khidmat nasihat secara sukarela. Apabila tindakan undang-undang diperlukan saya terpaksa meyakinkannya untuk menerima pembayaran daripada kontraktor ini.

Fikirkan, kesemua kontraktor ini terdiri dari orang-orang Cina tetapi, perbezaan bangsa, seperti yang selalu diperkatakan oleh sebilangan besar rakyat Malaysia, tidak pernah terlintas olehnya. Gana, adik bongsu di kalangan tiga beradik. Keluarga mana pun akan merasa bangga sekiranya mempunyai anak sepertinya. Keluarganya dari masyarakat India Telugu dan membesar dalam keadaan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Gana tidak mempunyai peluang untuk menamatkan pelajarannya seperti prang lain. Selepas menamatkan pelajarannya seperti orang lain. Selepas menamatkan Tingkatan lima, dia terpaksa bekerja sambilan untuk membantu keluarga dan dirinya.

Begitupun, itu tidak menghalangnya untuk berjimat dan mengambil kursus-kursus separuh masa untuk mencapai cita-citanya menjadi seorang pegawai kehakiman. Impiannya menjadi kenyataan ketika beliau berusia lewat dua puluhan apabila beliau berkaya mendapat ijazah undang-undang melalui program jarak jauh University of London.

Dia memulakan tugasnya sebagai pembantu undang-undang dengan sebuah firma guaman di Teluk Intan sehinggalah beliau mampu menubuhkan firmanya sendiri selepas berpindah ke Shah Alam tahun lepas.

Selama ini, beliau mempunyai cita-cita politik, bukan bercita-cita untuk mencari kekayaan diri secara haram ataupun tidak beretika, tetapi cita-cita untuk membantu memainkan peranan demi kemajuan masyarakatnya yang terpinggir khasnya, dan keseluruhan rakyat Malaysia amnya.

Setelah menubuhkan firmanya sendiri, untuk kebaikan atau sebaliknya, dia mampu memberi masa kepada isu-isu politik dan sosial. Dan dia melakukannya dengan sepenuh hati dan kerelaan.

Gana berkhawin tidak lama dulu dengan seorang guru sekolah. Dan pada hari merdeka yang lalu, anaknya yang pertama telah dilahirkan, sekarang berumur tidak sampai empat bulan. Jika Abdullah Badawi meneruskan caranya, sementara Gana dibebaskan dari tahanan ISA, anaknya akan berumur lebih dua tahun.

Bila Gana pertama kali menunjukkan isterinya yang berada di mahkamah kepada saya ketika dia didakwa dengan tuduhan menghasut di makamah syesen Kelang, anda akan dapat melihat air matanya dengan jelas. Segala kerisauannya, malangnya menjadi kenyataan.

Ketika menulis catatan ini, air mata mula mengalir. Saya sesungguhnya percaya bahawa Gana akan memperolehi lebih kekuatan selepas dibebaskan nanti. Kita mungkin tidak akan mendengar khabar dirinya untuk satu jangka waktu tetapi saya mengharapkan dia akan menjadi pemimpin di negara ini satu masa nanti.

Seorang pejuang ulung yang prihatin, bijak dan berdedikasi dalam memberikan sumbangan untuk merealisasikan Malaysia yang lebih baik untuk generasi akan datang. Segala sumbangan dan pengorbanannya jangan harus dipersia-siakan.

Penulis adalah ahli DAP - tonypua.blogspot.com

Dengarlah Rintihan Hati Kaum India

Penderitaan hidup yang dihadapi oleh kaum India dalam negara kita bukanlah sesuatu yang baru.

Seringkali kita terdengar kisah hidup mereka yang menyayat hati melalui rencara suratkhabar atau televisyen. Jikalau dibuat perbandingan antara tiga golongan kaum yang utama, maka kaum India sepastinya jauh ketinggalan dalam aspek pendapatan dan kehidupan mereka.

Walaupun faktor sejarah merupakan salah satu punca yang utama, di mana kaum India pada asalnya telah dibawa oleh penjajah British ke Tanah Melayu dan bekerja sebagai buruh kasar di ladang-ladang getah kepunyaan British, namun selepas 50 tahun kemerdekan dan generasi demi generasi kita hidup di tanahair ini, takkanlah taraf kehidupan mereka masih kekal sebegini.

Pada pilihan raya yang lepas, sekumpulan orang yang menggelar diri sebagai “Kumpulan warganegara yang berprihatin” pernah menyebut sembilan masalah asas yang dihadapi oleh kaum India di Malaysia melalui siaran akhbar yang bertajuk “Election 2004: New Politics for Indian Malaysians”.

Di antaranya, masalah-masalah yang dihadapi oleh kaum India termasuklah:
•Bilangan pemuda India yang mati dalam tahanan polis semakin meningkat;
•Masalah sosio-ekonomi di mana jurang kemiskinan antara masyarakat India dengan masyarakat kaum lain semakin luas;
•Kerajaan tidak mengambil pendekatan yang proaktif dalam menangani isu-isu sosial yang dihadapi oleh masyarakat India;
•Kekurangan pelajar India yang diambil masuk ke dalam universiti memang menyakiti hati masyarakat India;
•Isu-isu yang berkaitan dengan Maika sehingga kini tidak dapat diselesaikan;
•Pembunuhan yang didakwa berasaskan motif perkauman seperti yang berlaku di Kampung Medan masih belum dapat diperjelaskan; dan
•Hak kaum India untuk mendapatkan rumah kos rendah tidak dapat dipertahankan.


Kuil diceroboh menunjukkan kerajaan BN yang tidak mengamalkan prinsip kebebasan kepercayaan yang dijanjikan sejak merdeka.


Disebabkan kemiskinan, kebanyakan anak-anak mereka terpaksa mengabaikan peluang pendidikan dan bekerja kuat untuk menampung beban hidup sekeluarga. Adalah sesuatu fenomena yang biasa bagi kanak-kanak India bekerja di ladang-ladang sejak kecil lagi demi membantu ibu bapa mereka dalam mencari rezeki hidup. Mereka sepatutnya dihantar ke sekolah untuk mendapatkan peluang pendidikan.

Jadi tidaklah hairan perhimpunan anjuran Hindraf (Hindu Rights Action Force) berjaya menarik penyertaan kaum India secara besar-besaran. Walaupun menerima ugutan daripada pelbagai pihak, termasuk pemimpin-pemimpin Umno, pasukan keselamatan dan juga pimpinan MIC sendiri, namun mereka tetap dengan perancangan yang asal.

Daripada reaksi mereka dapatlah kita merasai betapanya masyarakat India kecewa terhadap pemimpin-pemimpin BN dan MIC sendiri. Atas kekecewaan ini, mereka rela berpatah arang dan menerima apa jua padah yang dijatuhkan ke atas mereka.

Jikalau rintihan hidup tidak dapat didengar, perhimpunan memang merupakan salah satu cara untuk menyuarakan ketidakpuasan hati mereka. Semangat mereka tidak pernah dipatahkan.

Sikap kerajaan BN, sebagaimana yang pemimpin-pemimpin BN tunjukkan terhadap mereka yang menyertai perhimpuan BERSIH bagi menuntut proses pilihan raya yang bersih dan adil adalah dijangkakan. Mereka langsung tidak mengizinkan rakyat berhimpun secara aman demi menyuarakan pendirian mereka.

Melalui pelbagai cara, perhimpunan Hindraf pula menerima tohmahan pemimpin-pemimpin BN dan ugutan daripada pasukan polis, termasuk menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk menahan mereka yang menyertai perhimpunan. Malah, mereka yang ditangkap dan ditahan telah menerima layanan polis secara kasar. Mana perginya pemimpin-pemimpin MIC kebelakangan ini?

Adakah anda bersetuju dengan tuntutan-tuntutan yang dibawa oleh Hindraf? Walaupun terdapat beberapa perkara yang tidak dapat kita semua terima, namun hak rakyat untuk berhimpun secara aman dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi untuk menyuarakan rintihan hidup dan tuntutan-tuntutan mereka perlulah kita hormati.