Friday, January 18, 2008

Universiti Bertaraf Dunia?


Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Mohamad nampaknya telah hilang fokus kerjanya, di mana beliau lebih memberatkan memain peranan sebagai seorang pegawai pemasaran pendidikan di negara asing daripada tugasnya sebagai seorang menteri pendidikan tinggi.

Mustapha yang berada di negara China untuk memasarkan universiti-universiti Malaysia baru-baru ini berkata bahawa beliau mahu melihat sekurang-kurangnya 15,000 pelajar Cina datang ke Malaysia, dalam tempoh 3 tahun - dua kali ganda jumlah pelajar Cina yang terdapat sekarang.

Beliau berkata ramai pelajar negara Cina datang ke Malaysia untuk melanjutkan pelajaran mereka di institut pengajaran tinggi swasta mahupun kerajaan untuk program siswazah.

"Maka itu, Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia akan pergi ke seluruh negara Cina untuk memasarkan negara Malaysia sebagai pusat pendidikan tinggi,"jelas beliau lagi.

Tetapi Mustapha seperti tidak sedar akan tugasnya yang lebih penting, iaitu memastikan universiti-universiti di Malaysia mencapai penganugerahan sebagai universiti bertaraf antarabangsa.

Tidak satu universiti Malaysia pun yang termasuk dalam 200 universiti terbaij dunia dalam 'Times Higher Education Supplement (THES)-Quacquarelli Symonds (QS)' yang dikeluarkan baru-baru ini. Universiti Sains Malaysia (USM) yang telah memenangi anugerah lima-bintang dalam tinjauan kerajaan tahun ini hanya mampu mendapat tempat ke-307 dalam THES-QS. Universiti Chulalongkorn di Thailand pun mampu mendapat tempat ke-233, iaitu lebih rendah daripada Universiti Malaya yang mendapat tempat ke-246.

Sungguhpun begitu, Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia masih lagi berlengah-lengah dan hanya sibuk adakah universiti begini yang dibangga-banggakan kerajaan Malaysia? Bukankah Mustapha lebih patut memberi keutamaan dalam memastikan Universiti Malaysia mencapai tahap universiti cemerlang, dan bertaraf antarabangsa? Dan bukan hanya sibuk memasarkan universiti tempatan sebagai peluang keuntungan?

No comments: