Friday, January 11, 2008

Hentikan ISA

- gubahsuai dari risalah "Apa anda tahu tentang ISA?" Gerakan Mansuhkan ISA.


APA ANDA MAHU TAHU TENTANG ISA?
Akta Keselamatan Dalam Negeri


1. Apakah itu ISA?

ISA atau Internal Security Act (Akta Keselamatan Dalam Negeri) adalah satu daripada tiga undang-undang utama di negara ini yang membolehkan kerajaan menahan sesiapa sahaja tanpa perlu dibawa dan dihadapkan ke mahkamah.


2. Dari mana datangnya ISA dan bila ISA dikuatkuasakan?

ISA bersumber daripada Undang-undang Daurat 1948-1960.

Daurat diisytiharkan tamat pada 30 Julai 1960 dan hanya selepas 24 jam, pada 1 Ogos 1960 ISA mula dikuatkuasakan.

ISA adalah berpaksikan kepada Peraturan 17 yang terkandung dalam Undang-undang Daurat 1948-1960.


3. Apa yang berlaku apabila seseorang ditahan di bawah ISA?

Seseorang itu akan ditahan untuk soal-siasat polis Cawangan Khas atau Special Branch, SB, bagi satu tempoh sehingga 60 hari. Semasa dalam tahanan polis, orang itu dikenakan tekanan mental, manipulasi psikologi, layanan tidak berperikemanusiaan dan terdapat benyak testimoni menunjukkan bahawa tahanan diseksa dengan kejam oleh polis SB.

Selepas soal- siasat 60 hari, seseorang tahanan itu seterusnya boleh dikenakan perintah tahanan selama dua tahun di Kem Tahanan Kemunting. Perintah tahanan yang ditandatangani oleh Menteri Keselamatan Dalam Negeri ini boleh diperbaharui selama dua tahun lagi berkali-kali tanpa batas.

4. Apakah perkembangan terkini tentang ISA?

Untuk pengetahuan anda, pada hari ini masih terdapat hampir 100 prang yang ditahan tanpa bicara di Kem Tahanan Kamunting. Sebilangan tahanan lagi sedang menjalani soal-siasat 60 hari di bawah kuasa polis. Pada masa yang sama para aktivis sosial dan politik di negara ini terus diancam dengan penahanan tanpa bicara di bawah ISA.

5. Diatas kesalahan apakah mereka ditahan di Kem Tahanan Kamunting, Taiping, Perak?

Sebahagian besar daripada mereka ditahan kerana kerajaan mengataan mereka terlibat atau menjadi anggota Jemaah Islamiah (JI) dan Darul Islam (DI). Terdapat juga yang ditahan atas menjadi musuh politik kerajaan dan dilabelkan dengan gelaran terrorist.

6. Siapa lagi yang sedang menjalani tahanan ISA di Kem Tahanan Kamuting?

Beberapa orang lagi ditahan kerana dikatakan terlibat dengan pemalsuan dokumen.

7. Adakah mereka telah dihadapkan ke mahkamah?

Tidak, tidak ada seorang pun di kalangan mereka yang dihadapkan ke mahkamah. Mereka ditahan selama 2 hingga 6 bulan dan lebih semata-mata di atas perintah tahanan yang ditandatangani oleh Menteri Keselamatan Dalam Negeri yang juga Perdana Menteri.

8. Apakah tuduhan kerajaan terhadap JI dan DI?

Kerajaan menuduh JI dan DI sebagai sebahagian daripada rangkaian pengganas atau tetoris antarabangsa yang ada hubungan dengan Al-Qaeda. Kerajaan juga menuduh mereka mahu menubuhkan Negara Islam Nusantara.

9. Siapa lagi sebelum mereka yang pernah dituduh sebagai anggota rangkaian terois?

Sebelum ini KMM atau Kumpulan Militan Malaysia telah ditahan di bawah ISA. Di kalangan tahanan KMM ada pula yang ditahan kerana menjadi anggota KMK, iaitu Kumpulan Militan Kedah! Terdapat seorang yang ditahan di atas tuduhan menjadi anggota Al-Qaeda! Setelah peristiwa 11 September 2001, tahanan Al-Maunah juga turut tersenarai sebagai kumpulan teroris. Sebelum itu, pada tahun 2000 kerajaan juga telah menahan beberapa orang yang dikatakan ahli PPA atau Pertubuhan Pengganas Antarabangsa.

10. Bagi tujuan pencegahan, bukankah ISA masih diperlukan?

Undang-undang pencegahan tidak sama sekali bermakna kerajaan boleh mencabul hak asasi manusia dengan memenjarakan sesiapa sahaja tanpa bicara. Langkah-langkah pencegahan mesti berjalan seiring dengan usaha untuk menegakkan kebenaranm, ketelusan dan keadilan.

11. Sesetengah isu dalam negara seperti gejala murtad atau ajaran sesat adalah sensitif jika dibicarakan secara terbuka di mahkamah. Bukankah penahanan dan pemulihan di bawah ISA merupakan satu jalan penyelesaian yang bijak?

Tidak benar. Berpaksikan kepada prinsip keadilan dan kebenaran, apa sahaja jenis kesalahan yang hendak diselesaikan melalui satu jenis hukuman atau pemulihan hendaklah dibicarakan secara adil dan terbuka. Islam menolak penahanan tanpa bicara. Oleh itu, menggunakan ISA bagi tujuan kononnya untuk menjaga kepentingan Islam adalah satu perkara yang ditolak oleh Islam.

12. Ada pihak mengatakan ISA itu tidak salah, apa yang berlaku adalah ISA disalahgunakan. Adakah pernyataan ini boleh diterima?

Ini sama sekali tidak boleh diterima. Undang-undang yang mencabul hak asasi manusia dengan memenjarakan seseorang tanpa bicara dengan sendirinya jelas merupakan satu undang-undang yang salah. Undang-undang yang sah pun boleh disalahgunakan, sudah tentu undang-undang yang salah akan lebih teruk disalahgunakan.



13. Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyatakan bahawa ISA adalah selaras dengan Islam Hadhari, adakah ini benar?



Benar, Perdana Menteri memang ada berkata demikian. Jika yang dimaksudkan dengan Islam Hadhari adalah Islam yang menumpukan kepada pembangunan tamadun, sudah tentu Islam Hadhari amat tidak selaras dengan ISA. Ini kerana ISA adalah undang-undang yang paling tidak bertamadun kerana ia mencabul hak asasi manusia dengan memenjarakan seseorang tanpa bicara.

14. Siapakan yang paling menderita apabila berlakunya penahanan ISA?

Isteri, anak-anak dan keluarga terdekat adalah orang-orang yang paling menderita. Mereka kehilangan kasih sayang, tempat bergantung dan sering hilang punca pendapatan. Isteri tahanan terpaksa berperanan sebagai ketua keluarga dan mencari sumber sara hidup untuk anak-anak. Mereka juga sering ditakut-takutkan serta diganggu secara mental dan seksual oleh polis cawangan khas, SB.

15. Apakah pendirian pihak-pihak lain terhadap ISA?

Badan-badan hak asasi manusia antarabangsa seperti Amnesty International, Human Rights Watch dan Islamic Human Rights Commission mendesak agar kerajaan Malaysia memansuhkan ISA.

SUHAKAM, Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia selaku badan tertinggi yang menasihati kerajaan dalam hal-ehwal hak asasi manusia juga telah mengesyorkan agar kerajaan memansuhkan ISA.

Selain itu, NGO-NGO hak asasi manusia seperti HAKAM, SUARAM JIM dan ABIM yang bergabung dalam Gerakan Mansuhkan ISA mendesak agar ISA dimansuhkan, Kem Tahanan Kamunting ditutup dan semua tahanan ISA hendaklah dihadapkan ke makamah atau dibebaskan jika kerajaan tiada bukti untuk mendakwa mereka di mahkamah.

16. Apakah yang boleh anda lakukan?

Sebarkan sebarang info mengenai ISA bagi menyedarkan orang ramai tentang kezaliman ISA.

Menuntut untuk membatahkan ISA!




No comments: