
Kau kata
Kau daulat undang-undang
Kau dukung demokrasi
Kau hormat hak asasi
Kau luhur Perlembagaan ini
Tahukah engkau?
Ini bukan warkah main-main
Bukan suhuf picisan
Ini kitab suci
Ini tawarikh junjungan
Ini kontrak sosial
Kovenan pemerintah
Dan yang diperintah
Yang mengangkat rakyat menjadi raja
Merakyatkan Raja pada paksi Perlembagaan ini
Namun kau carut dan kau cabul
Kau ludah
Dan kau kencing
Kau halalkan yang haram
Dan haramkan yang halal
Kau gubah ikut tepukan dada dan selera
Bagai kau yang punya Perlembagaan ini
Tidak lagi!
Kami mahu berpesta demokrasi!
Kami mahu ke jalanan berhimpun, berarak, berdansa
Kami mahu menghirup hak yang maktub
Yang hakiki di bawah Perlembagaan ini
Kami tidak gentar
Walau dengan tomahan bacul
Walau dengan momokan khianat
Walau dengan canister gas
Walau dengan dengan meriam air
Walaupun dengan das-das peluru
Tidak, kami tidak gentar
Juang kami demi rakyat
Pedang kami hujah
Lembing kami fakta
Perisai kami keyakinan
Azimat kami Perlembagaan ini
Sudah sekian lama kau jadikan ini Perlembagaanmu
Tiba masa kami jadikannya Perlembagaanku